Rose Chan
Rose Chan | |
---|---|
陳惠珍 | |
Kelahiran | Chan Wai Chang 18 April 1925 |
Meninggal dunia | 26 Mei 1987 | (umur 62)
Sebab kematian | Barah payudara |
Pekerjaan | Penari kabaret |
Tahun aktif | 1942 – 1976 |
Rose Chan (Cina ringkas: 陈惠珍 ; Cina tradisional: 陳惠珍 ; pinyin: Chén Huìzhēn 18 April 1925 – 26 Mei 1987) adalah seorang penari kabaret dan penari bogel yang bergiat masyhur di Malaysia[2] sehingga dianggap "Ratu" dalam bidang hiburan itu. Penggunaan kelaminnya, pada zaman awalan sebelum Madonna, menjadikan dirinya satu ikon terkenal paling kontrovesi yang menimbulkan perasaan gemar ataupun benci tetapi jarang tidak dipedulikan dikalangan masyarakat Malaysia. Pada akhir 1970-an, beliau telah ditawarkan sebanyak RM3 juta oleh sebuah syarikat penerbitan Amerika Syarikat untuk autobiografinya, akan tetapi tawaran itu tidak dapat ditunaikan apabila Chan meminta USD$3 juta sebagai syarat.
Kehidupan
[sunting | sunting sumber]Dilahirkan di Suzhou, China, kepada ibubapa yang bekerja sebagai akrobat, Chan atau nama penuhnya, Chan Wai Chang, tiba di Kuala Lumpur dengan ibu angkatnya pada tahun 1931. Umurnya pada masa itu kira-kira enam tahun. Beliau memulakan persekolahannya ketika berumur 12 tahun. Walaupun umurnya masih mentah, beliau telah menunjukkan keupayaannya berniaga dengan mendapat keuntungan melalui pengambilan gambar untuk rakan-rakan sedarjah. Beliau menjual setiap gambar dengan harga 15 sen, dan mendapat untung sebanyak 10 sen. Apabila sekolahnya membuat aduan bertulis atas kelewatan Chan ke sekolah kerana sering mengutip gambar dari kedai, ibu angkatnya mengambil keputusan memberhentikannya dari bersekolah. Atas sebab itu, beliau cuma sempat bersekolah selama lapan bulan sahaja.
Selepas tercicir dalam pelajarannya, beliau mula bekerja disebuah kedai yang membuat butang daripada kulit kelapa, dan dibayar upah sebanyak enam gantang beras dan sebuku roti jagung sebulan. Bagi setiap seribu butang yang dibuatnya, beliau juga mendapat 12 sen. Dalam masa sehari, beliau dapat mengeluarkan beberapa ribu butang dengan penggunaan mesin. Kemudian, beliau bekerja dikedai membuat kelambu, yang mana beliau dibayar dengan upah yang lebih lumayan, iaitu lapan gantang beras, enam kati gula, dua botol minyak masak, dan sebuku roti jagung sebulan.
Pada tahun 1941, semasa berumur 16 tahun, ibu angkat beliau menguruskan perkahwinannya dengan seorang kontraktor pelabuhan berbangsa Cina di Singapura sebagai isteri yang keempat. Pada masa itu, Chan sudah mempunyai seorang teman lelaki, akan tetapi lelaki itu miskin dan tidak mampu membayar mas kahwin yang diharuskan oleh ibu angkat Chan. Kontraktor tersebut menawarkan ibu angkat Chan wang sebanyak SGD$3,000, sepasang anting-anting intan, sebiji loket dan seutas gelang.
Malangnya, perkahwinan Chan tidak berkekalan kerana ibu angkatnya sering meminta wang sebanyak SGD$1,000-$2,000 setiap kali. Kekecewaan yang dialami oleh suaminya menyebabkannya menghantar Chan balik ke Kuala Lumpur. Suaminya memberi elaun bulanan sebanyak SGD$600, dengan syarat bahawa ibu angkatnya mesti menggajikan seorang pembantu rumah untuk menjalankan tugas-tugas rumahtangga. Akan tetapi ibu Chan tidak berbuat demikian, dan semasa suami Chan singgah di Kuala Lumpur dalam perjalanannya ke Pulau Pinang untuk menonton perlumbaan kuda, dia terlihat Chan membuat tugas rumahtangga dan berasa sungguh marah. Bermula dari sebab itu, suaminya memberhentikan elaun bulanan Chan dan enggan berjumpa lagi dengannya.
Kerjaya
[sunting | sunting sumber]Dengan pemberhentian elaun bulanan, kedudukan kewangan Chan makin merosot. Pada tahun 1942, iaitu tahun berikutnya, Chan menjual gelangnya yang terakhir dengan harga RM300 lebih dan menaiki kereta api ke Singapura. Malangnya, suaminya enggan menerimanya balik semula dan untuk menyakitkan hati suaminya, beliau bekerja sebagai penari kabaret di "Happy World" yang sering dilanggani suaminya. Di kabaret itu, beliau menjadi seorang penari yang berbakat, dan kemudian menjadi naib johan dalam dua pertandingan nasional, iaitu:
- Pertandingan Kaum Wanita Penari Ballroom di Singapura pada tahun 1949;
- Peraduan Ratu Cantik Singapura pada tahun 1950.
Disebabkan kemenangan-kemenangan tersebut, Chan amat digemari dikalangan pelanggan kabaret dan di atas permintaan yang hebat, beliau mula menari di lima buah kabaret dalam satu masa.
Pada tahun 1951, Chan mula mengendalikan pertunjukan sendiri, dan membuat persembahan diseluruh Malaya. Titik-tolak riwayat hidupnya datang dengan tiba-tiba pada tahun yang berikutnya, dimana dari seorang penari biasa, beliau digelar sebagai "Ratu Penari Bogel". Peristiwa itu terjadi di Pawagam Majestik, Ipoh, dimana kutangnya tertanggal. Melihat sambutan yang sungguh penuh semangat dan yang tidak disangka-sangka, Chan berfikir: "Di sini, saya berpenat-penat menari seluruh malam dan tiada pun sesiapa yang bertepuk tangan. Kutang saya tertanggal sahaja dan mereka semua bertepuk". (Banyak celaka, kaum lelaki! hehehe)
Atas kesedaran itu, Chan mencapai kemasyhuran dengan serentak melalui babaknya yang lain daripada lain di Malaya. Maka lahirlah "Ratu Penari Bogel". Dengan serentak itu juga, beliau digelar sebagai "Ratu Amal". Beberapa bulan sebelum itu, beliau telah memulakan kegiatan amal dengan tariannya untuk Tabung Universiti Nanyang. Beliau membawa persembahannya ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Alor Setar, dan sentiasa mendermakan sebahagian daripada pendapatan yang diteima kepada rumah kanak-kanak, rumah orang-orang tua, persatuan orang buta, dan juga kepada pesakit-pesakit batuk kering (tibi).
Pada tahun 1954, Chan mempelbagaikan persembahannya dengan penggabungan babak-babak sarkas seperti berikut:
- bergusti dengan ular sawa;
- mengbengkokkan batang besi dengan bahagiannya di bawah kerongkong;
- memikul seorang lelaki diatas bahunya; dan
- membenarkan motosikal-motosikal melalui sekeping papan yang terletak diatas badannya.
Babak-babak yang merbahaya itu mengukuhkan kedudukan Chan, dan beliau membawa persembahannya ke luar negara sepertiJerman, Perancis, Britain, Australia dan Indonesia.
Pada Julai 1957, Chan memeluk agama Islam ketika beliau berkahwin dengan Mohamed Nazier Kahar, seorang warganegara Indonesia di Singapura dan menukar nama kepada Rosimah binti Abdullah. Perkahwinan yang tanpa anak ini kekal selama tiga tahun. Selepas itu, beliau berkahwin dengan Chong Yew Meng, dan mempunyai seorang anak lelaki. Akan tetapi perkahwinan ini juga tidak berkekalan. Perkahwinan yang keempat gagal juga tanpa mempunyai anak.
Walaupun kesemua perkahwinannya gagal, Chan mempunyai seorang kawan yang sungguh rapat dan yang kemudian, menjadi pengurusnya. Lee Kai Hong, seorang wartawan dan pemaju harta, merupakan pengaruh yang agak besar dalam kehidupan Chan. Sewaktu bersama dengan Lee, Chan dapat melaksanakan satu idea yang kreatif iaitu untuk mengelakkan dari melanggar undang-undang kesopanan pihak penjajah British.
Pada masa itu, terdapat sebuah undang-undang bertujuan membantu pelukis-pelukis yang mana seorang model dibenarkan bertelanjang, asalkan dia tidak bergerak. Oleh sebab pentas berputar belum lagi dicipta, Chan dan Lee menggunakan sebuah meja yang beroda dan diikatkan tali dikeempat-empat sudut meja. Ketika Chan telah bertelanjang, beliau akan melompat keatas meja itu, dan empat pembantu akan menarik tali untuk memusingkan meja supaya segala penonton dapat memandang Chan dengan jelas. Walaupun peraturan dan undang-undang mesti dipatuhi, kesalahan tetap berlaku. Sungguhpun begitu, pihak berkuasa penjajah British tidak mengambil hati dan berkata kepadanya, "Saudari, kami tabik awak!" ("Lady, we take our hats off to you!")
Chan membuat persembahannya selama dua minggu di setiap bandar yang dilawati dan namanya kian tersebar ke seluruh negara Malaysia, termasuk pantai timur yang konservatif. Beliau juga membuat pertunjukan-pertunjukan di tempat pelanggan. Suasana yang mengizinkan pertunjukan-pertunjukan tersebut disebabkan oleh pengaruh-pengaruh penjajahan pada masa itu. Terdapat ramai kakitangan pentadbiran British dan tentera Australia di Malaysia pada masa 1950-an dan awal 1960-an.
Pertunjukan-pertunjukan di BB Park, Kuala Lumpur diadakan diatas pentas yang biasanya digunakan untuk pertunjukan wayang opera Cina. Penonton-penonton duduk diatas kerusi kayu yang serupa dengan kerusi pawagam pada masa itu. Harga tiket lebih kurang RM10 hingga RM15, dengan kerusi yang berdekatan pentas dikenakan harga yang lebih mahal. Promosi pertunjukan dibuat melalui iklan dalam suratkhabar berbahasa Cina. Pada setiap hari Sabtu yang mana kebanyakan orang bekerja setengah hari, Chan dan rombongannya akan membuat tiga persembahan, iaitu pada pukul 2.00 petang, pukul 7.30 petang dan pukul 9.30 malam. Bagi pertunjukan pertama, Chan akan membuat persembahan yang lebih liar. Beliau akan bermula pada pukul 1.15 petang, iaitu 45 minit lebih dahulu daripada masa yang ditetapkan, supaya dapat melngelak dari ditangkap oleh pihak berkuasa kerana melanggar undang-undang kesopanan. Selepas pukul 2.00 petang, barulah Chan akan menunjukkan persembahannya seperti yang telah dijadualkan.
Pada tahun 1967, Chan telah diharamkan daripada membuat persembahan di Kuala Lumpur selepas polis menyerbu pertunjukannya di BB Park. Sewaktu beliau membuat pertunjukannya di Perth pada September 1970, dia tertangkap kerana membuat pertunjukan yang lucah di tempat umum, tetapi dibebaskan kemudian.
Pada tahun 1970-an, suasana di Malaysia telah berubah dengan berubahnya sikap masyarakat ramai didedahkan pengaruh Islamisasi yang makin hebat. Pertunjukan Chan menerima banyak aduan, dan pada tahun 1973, kerajaan membatalkan lesen pertunjukannya. Walaupun demikian, Chan masih menari sehingga persaraannya pada tahun 1976. Pertunjukannya yang terakhir diadakan di Kuala Lumpur.[3]
Selepas bersara, Chan mengurus beberapa perniagaan, akan tetapi kesemuanya tidak berjaya. Di Seremban, Chan mengendalikan sebuah pancaragam muzik, sebuah restoran, dan memberi perkhidmatan rawatan urut. Salah sebuah penerbit Amerika Syarikat telah menawarkan Chan RM3 juta untuk autobiografinya, akan tetapi tawaran itu tidak dapat ditunaikan apabila Chan menetapkan harga USD$3 juta sebagai syarat.
Lebih kurang pada tahun 1980, Chan didapati menghidapi penyakit barah payudara, dan memilih menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Pulau Pinang apabila doktor-doktor yang merawatnya menjangkakan bahawa Chan cuma tinggal 18 bulan untuk hidup. Pada masa itu juga beliau berganding semula dengan bekas pengurusnya, Lee Kai Hong, dan bersama-sama, mereka membuka Galant, sebuah pusat hentian hiburan di Jalan Transfer. Pada akhir tahun 1986, kesihatannya telah menjadi semakin buruk, dan beliau mula percaya bahawa penyakitnya diakibatkan oleh tekanan-tekanan benda-benda yang berat di bahagian dadanya semasa membuat pertunjukan. Beliau juga percaya bahawa dadih darah diseluruh badannya diakibatkan oleh belitan ular sawa.
Dalam tempoh enam tahun sejak Chan mula sakit, perbelanjaan rawatannya telah menyebabkan kedudukan kewangannya merosot. Oleh sebab itu, Golden Maid Lounge di Burmah Road mengadakan satu pertunjukan amal selama lima malam untuk mengumpul derma bagi perbelanjaan perubatan Chan. Malangnya, derma tersebut tiba amat lewat dan pada 26hb Mei 1987, Chan menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Butterworth, dan meninggalkan seorang suami, seorang anak lelaki dan tiga orang anak angkat perempuan, anak sulungnya daripada perkahwinan pertama dan salah seorang anak angkat perempuannya enggan mengakuinya sebagai ibu. Suaminya, Low Kim Seng, anak lelaki Chong Weng Thye, dan anak perempuan Irene berada disisinya sewaktu beliau menghembuskan nafas terakhir.
Garis masa
[sunting | sunting sumber]- 1925: Dilahirkan di Soochow; nama asalnya Chan Wai Chang.
- c. 1931 (umur 6): Dibawa dari Soochow ke Kuala Lumpur oleh ibu angkatnya.
- 1937 (umur 12): Bersekolah selama lapan bulan, dan selepas itu, bekerja di kedai yang membuat butang daripada kulit kelapa.
- c. 1938 (umur ~13): Bekerja di kedai yang membuat kelambu.
- 1941 (umur 16): Berkahwin dengan seorang kontraktor pelabuhan berbangsa Cina di Singapura sebagai isteri yang keempat.
- 1942 (umur 17): Menjadi seorang penari kabaret di "Happy World", Singapura selepas ditolak oleh suaminya.
- 1949 (umur 24): Menjadi naib johan dalam "Pertandingan Kaum Wanita Penarian Ballroom" di Singapura.
- 1950 (umur 25): Menjadi naib johan dalam "Peraduan Ratu Cantik Singapura".
- 1951 (umur 26): Mengendalikan pertunjukan sendiri, dan mengadakan persembahan di seluruh Malaya.
- 1952 (umur 27): Titik-tolak riwayat hidupnya bemula apabila beliau digelar "Ratu Penari Bogel".
- 1954 (umur 29): Mempersembahkan gusti ular sawa dan babak sarkas dalam pertunjukannya.
- Julai 1957 (umur 32): Memeluk agama Islam dan berkahwin dengan suami kedua, Mohamed Nazier Kahar, seorang berbangsa Indonesia; menukarkan nama ke Rosminah binti Abdullah.
- 1960 (umur 35): Bercerai dengan suami kedua, Mohamed Nazier Kahar.
- [tidak pasti]: Berkahwin dengan suami ketiga, Chong Yew Meng.
- [tidak pasti]: Berkahwin dengan suami keempat (nama dan tarikh perkahwinan tidak dapat dipastikan).
- 1967 (umur 42): Diharamkan daripada membuat persembahan di Kuala Lumpur, selepas polis menyerbu pertunjukannya di BB Park.
- 1970 (umur 45): Ditangkap oleh polis di Perth pada September kerana mempersembahkan pertunjukan lucah di tempat umum, tetapi kemudian dibebaskan; didakwa semula di Perth kerana melacurkan diri disebuah kedai urut, dan didenda A$60.
- 1970an: Menerima banyak aduan daripada orang ramai tentang pertunjukannya.
- 1973 (umur 48): Membuat laporan rasuah kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke atas salah seorang pegawai dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada Julai; pihak berkuasa membatalkan lesen pertunjukannya pada tahun yang sama.
- 1976 (umur 51): Bersara selepas pertunjukan yang terakhir di Kuala Lumpur.
- 1976-1979 (umur 51-54): Menguruskan sebuah pancaragam muzik, sebuah restoran, dan memberi rawatan urut di Seremban, kesemuanya gagal; ditawarkan sebanyak RM3 juta oleh sebuah syarikat penerbitan Amerika Syarikat untuk autobiografinya, akan tetapi penawaran itu tidak dapat ditunaikan apabila Chan meminta USD$3 juta sebagai syarat.
- c. 1980 (umur 55): Disahkan menghidap penyakit barah payudara, dan dijangkakan hanya tinggal 18 bulan untuk hidup.
- 1980an: Membuka Galant, sebuah pusat hentian hiburan, di Jalan Transfer dengan bekas pengurus, Lee Kai Hong.
- 1987 (umur 62):
- April: Terlantar di katil Hospital Kuala Lumpur kerana keadaan kesihatannya yang amat kritikal.
- Mei 20-24: Golden Maid Lounge di Jalan Burmah mengendalikan pertunjukan amal selama 5 malam untuk mengumpul derma bagi kos rawatan Chan. Irene, anak perempuan Chan, juga membuat persembahan. Pelanggan dikenakan RM10 seorang untuk salah satu daripada dua pertunjukan setiap hari.
- Mei 26: Menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Butterworth, Pulau Pinang.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Rose Chan - The Most Talked About Girl in Malaya". The Week-Ender Annual. December 1956. Dicapai pada 26 March 2018 – melalui Ipohworld.
- ^ Lim, Catherine (16 Julai 1994). "Looking into the psyche of stripper Rose Chan". The Straits Times. m/s. 22 – melalui NewspaperSG.
- ^ Ong, Christopher (2022). "Rose Chan". Singapore Infopedia. Government of Singapore. Dicapai pada 26 September 2022.
- Sumber utama
- Off the Edge (Terbitan September 2005), The Edge Communications Sdn Bhd, Petaling Jaya, Malaysia (A.N.N.)
- Rose Chan (2009), National Library Board Singapore.
- Victoria Brown, "She's not just a stripper, says Cecil Rajendra of Rose Chan", The Star, September 24, 2013.
Bacaan lanjut
[sunting | sunting sumber]- Cecil Rajendra, No Bed of Roses: The Rose Chan Story, Marshall Cavendish International Asia, 2013. ISBN 978-9814408202.