Pergi ke kandungan

Kembara Seniman Jalanan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kembara Seniman Jalanan
Poster keluaran tayangan
PengarahNasir Jani
PenulisM. Nasir
Lakon layarNasir Jani
Dihasilkan olehZarul Albakri
Dibintangi
Muzik olehM. Nasir
Syarikat
penerbitan
ZSA Holdings Sdn. Bhd.
Tarikh tayangan
  • 22 Februari 1986 (1986-02-22) (Malaysia)
[1]
Masa tayangan
113 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
Pecah panggungRM 299,841.15

Kembara Seniman Jalanan ialah sebuah filem drama muzikal pengembaraan Malaysia 1986 arahan Nasir Jani dengan skrip ditulis oleh M. Nasir dan diterbitkan oleh Zarul Albakri menerusi ZSA Holdings Sdn. Bhd. Filem ini ditayangkan kepada umum pada 22 Februari 1986 dan dibintangi oleh M. Nasir sendiri. Filem ini dimulai dengan paparan warna-warna lukisan pelukis tempatan seperti S. Amin Shahab, M. Nasir, Mohd Din dan dibayangi dengan imej watak utama iaitu M. Nasir sendiri sebagai Jebat atau Bujang.

Bujang yang baru tiba di ibukota telah bertembung dengan tidak sengaja dengan Osman Tikus (Pyan Habib) di Hentian Puduraya. Osman merupakan seorang penyeluk saku @ pencuri sepenuh masa. Pertembungan itu mengakibatkan dompet Bujang juga turut menjadi mangsa Osman.

Hal ini hanya disedari setelah Bujang ke gerai burger milik Imuda (Brader Joe) untuk mengalas perut sebelum meneruskan tujuan ke Studio rakaman milik En Johan, seorang pengusaha syarikat rakaman bumiputera yang terlibat dengan cetak rompak. Akibatnya Bujang terpaksa makan burger tidak berbayar.

Sesampai di studio rakaman, Bujang terpaksa menunggu lama dan disuruh pulang dan datang semula esok harinya oleh En Johan kerana alasan sibuk dan tidak mahu melayan Bujang. Bujang berjumpa semula dengan Osman selepas itu di gerai Brader Joe. Bujang nampak Osman ada disitu dan terus menyerang Osman tetapi berjaya di halang oleh Brader Joe dan Siso. Kemudian Osman memohon maaf dan mengajak Bujang tinggal bersama di rumah "tinggal" di ibu kota.

Keesokan harinya Bujang kembali ke studio rakaman dan apabila tiba giliran ujibakat, dia dipersendakan dan diperlekehkan oleh En Johan kerana penampilan yang "rugged". Bujang mendendangkan lagu "Rupa Tanpa Wajah" secara akustik dan dalam diam-diam En Johan, telah merakam dan menciplak lagu tersebut dan diberikan kepada penyanyi pop superstar bernama Fareez.Disitu juga Bujang bertemu dengan Khaty , seorang wartawan hiburan.

Bujang yang tiada mendapat peluang menjadi artis rakaman telah didorong oleh Brader Joe supaya membuat persembahan secara terbuka "busking" di kaki lima bangunan-bangunan. Biasanya dia ditemani oleh Osman yang turut mengambil kesempatan menyeluk saku.Mereka adakalanya dihalau oleh Pihak Berkuasa kerana dituduh mengemis.dR Sam dan Neeruam , juga pengusaha syarikat rakaman turut mencari-cari bakat baru untuk diketengahkan.

Suatu hari Khaty telah dipanggil oleh En Johan untuk mendengar lagu dari album terbaru Fareez. En Johan cuba merasuah Khaty dengan wang suapan supaya mempromosikan album itu. Khaty terserempak dengan Bujang yang menyanyi di tepi jalan, dan bertanyakan lagu yang dinyanyikan serupa dengan lagu Fareez.

Barulah Bujang sedar yang karya beliau telah dirakam rompak dan diciplak. Beliau dan Osman telah mengamuk dalam satu majlis promosi dan pradengar album Fareez di sebuah hotel terkemuka di ibukota. Mereka berdua kemudiannya telah ditahan dan dipenjarakan.

Neeruam telah mengikat jamin Bujang dan Osman . Kemudian mereka menjadi artis syarikat rakaman dR Sam bersama artis lain seperti Search, Blues Gang dan Sweet Charity.

M. Nasir memegang watak sebagai Bujang dalam filem ini.

Keluaran dan sambutan

[sunting | sunting sumber]

Kembara Seniman Jalanan dikeluarkan pada 22 Februari 1986 dan merupakan satu kejayaan komersial.

Tayangan eksklusif filem Kembara Seniman Jalanan telah diadakan pada 28 Mac 2009 di Panggung Coliseum, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan dihadiri oleh barisan pelakon filem ini termasuk pengarahnya, Nasir Jani.[2]

Kontroversi

[sunting | sunting sumber]

Pada 11 Januari 2016, pelakon filem ini, Pyan Habib mempertikai tindakan pihak "TPPA Malaysia" menggunakan sedutan filem Kembara Seniman Jalanan sebagai bahan dalam kempen mereka. Menurutnya, pengendali akaun berkenaan kelihatan mengambil jalan terlalu mudah dengan berselindung di sebalik Akta Hakcipta 1987 untuk menghalalkan tindakan berkenaan. Katanya, Zarul Albakri selaku pemilik hakcipta filem ini masih hidup dan belum mati lagi.[3]

Portal Malaysiakini melaporkan sebuah klip video menjelaskan mengenai faedah pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menggunakan sedutan filem Kembara Seniman Jalanan sebagai bahan kempennya. Klip itu disiarkan akaun TPP Malaysia di Facebook.[3] Pemegang hak cipta filem itu, Zarul Albakri (adik kepada Zahim Albakri) mengesahkan kepada portal ini bahawa tiada sesiapa menghubunginya untuk memaklumkan kandungan produksi itu diambil sebagai bahan kempen. Ironinya klip itu cuba menjelaskan kesan kegiatan cetak rompak kepada industri kreatif.[3]

Nasir Jani selaku pengarah filem ini turut berasa tidak senang dengan 'pencerobohan' hak cipta berkenaan. Menurutnya, kejujuran perlu ada pada setiap pengendali bahan sebaran massa bagi memastikan setiap karya kreatif dihormati. Beliau berkata:[3]

"Bukan mudah untuk orang seperti kami menghasilkan sesebuah karya. Sekurang-kurangnya hargailah pihak berkenaan yang bersusah-payah menjadikan sesebuah filem itu boleh disiapkan,"[3]

Beliau juga merujuk kepada lagu "Bengawan Solo" yang dicipta oleh Gesang Martohartono pada 1940 dan diminati ramai termasuk orang Jepun. Ia turut dimainkan di pusat hiburan di Jepun ketika zaman kemuncak karaoke.[3]

Penerbit filem ini, Zarul pula berkata tiada sesiapa memaklumkan filem itu digunakan sebagai bahan kempen kesedaran TPPA. Katanya, Pyanhabib menghubunginya menyatakan ada sedutan filem Kembara Seniman Jalanan dijadikan bahan dalam sebuah klip video mengenai TPPA.[4]

Nasir Jani bersama-sama dengan barisan pelakon filem Kembara Seniman Jalanan meraikan ulang tahun ke-30 filem ini pada 22 Februari 2016. Nasir selaku pengarah filem ini mendapati masih mampu mencuri perhatian penggiat seni dan pihak berkuasa terlibat dengan seni hiburan tanah air sehingga sekarang. Katanya, filem yang berdasarkan skrip asal oleh M. Nasir ini masih relevan sehingga kini. beliau percaya kerelevanan Kembara Seniman Jalanan kerana idea dan isu yang diangkat lewat naskhahnya – isu cetak rompak dan rasuah. Dua gejala perosak pembangunan budaya, tamadun bangsa dan negara.[5]

Runut bunyi

[sunting | sunting sumber]
Lagu-Lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan
Runut bunyi oleh
Dilancarkan pada1986
TempatMalaysia Sunting nilai ini di Wikidata
GenreRunut bunyi
BahasaBahasa Melayu Sunting nilai ini di Wikidata
SyarikatPolygram
PengarahNasir Jani Sunting nilai ini di Wikidata
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Lagu-lagu dari filem tersebut juga telah diabadikan melalui sebuah album runut bunyi keluaran Polygram Records bertajuk "Lagu-lagu dari filem Kembara Seniman Jalanan". Semua lagu adalah ciptaan M Nasir kecuali "Balada Pemuzik Jalanan" oleh Zainol Ali.

No.TajukPenulisPenyanyiMasa
1."Rupa Tanpa Wajah" (Lagu baru) M. NasirKembara5:11
2."Siapa Orang Kita" (Lagu baru) M. NasirKembara5:38
3."Balada Pemuzik Jalanan" (Cinta Buatan Malaysia, 1985) Zainol Ali/S. Amin ShahabSearch4:48
4."Duit!" (Duit, 1985) M. NasirKembara4:22
5."Sesat Di Kuala Lumpur" (Lagu baru) M. NasirKembara4:17
6."Dimanakah Dikau" (Duit, 1985) M. NasirKembara6:31
7."Citak Rompak" (Seniman Jalanan, 1984) M. NasirKembara4:25
8."Balada Osman Tikus" (Lagu baru) M. NasirKembara4:22
9."Harapan Terakhir" (Duit, 1985) M. NasirKembara5:18
10."Rupa Tanpa Wajah (Instrumental)" (Lagu baru) M. NasirKembara5:05


  1. ^ Kembara Seniman Jalanan IMDb.
  2. ^ 'Kembara Seniman Jalanan'... Kritikan pedas Nasir Jani AmyIkram. 29 Mac 2009.
  3. ^ a b c d e f Al-Abror Mohd Yusof (16 Januari 2016). 'Pemilik Kembara Seniman Jalanan belum mati' Malaysiakini. Dicapai pada 6 Februari 2016.
  4. ^ Al-Abror Mohd Yusof (16 Januari 2016). Kembara Seniman Jalanan 'mangsa' kempen TPPA? Malaysiakini. Dicapai pada 6 Februari 2016.
  5. ^ Kembara Seniman Jalanan masih relevan? Nasir Jani. Sinar Harian. Dicapai pada 22 Februari 2016.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]