Geografi India
India yang merangkumi sebahagian terbesar benua kecil India, terletak di atas plat tektonik India, iaitu di bahagian barat laut Plat Indo-Australia.[1] Proses pembentukan geologinya bermula 75 juta tahun dahulu, apabila benua kecil India yang ketika itu merupakan sebahagian benua besar selatan Gondwana, mula beralir ke arah timur laut selama 50 juta tahun, merentasi Lautan Hindi yang ketika itu belum terbentuk lagi.[2] Ini disusuli pertembungan benua kecil ini denghan Plat Eurasia dan subdukt di bawahnya yang melahirkan banjaran Himalaya, pergunungan tertinggi di dunia yang kini bercamtum dengan India di utara dan timur laut.[2] Pergerakan plat ini juga melahirkan sebuah palung yang luas di bekas dasar laut yang teletak berhampiran selatan Himalaya dan seterusnya diisi endapan sungai,[3] lalu membentuk Dataran Indo-Ganges.[4] Pada barat dataran ini, dan terpisah darinya oleh Bukit-bukit Aravalli, terletaknya Gurun Thar.[5] Plat India yang asal kini tinggal Semenanjung India, aitu bahagian yang tertua dan paling stabil dari segi geologi di India, mencapai sejauh banjaran Satpura dan banjaran Vindhya di India tengah; banjaran-banjaran selari ini terbentang dari pantai Laut Arab di Gujarat ke Penara Chota Nagpur yang kaya dengan arang di Jharkhand.[6] Di selatannya, daratan semenanjung yang selebihnya, iaitu penara Deccan, diapit pada kiri dan kanannya oleh banjaran pesisiran, iaitu masing-masing Ghat Barat dan Ghat Timur,[7] mengandungi pembentukan batu tertua di India pada usia kira-kira sebilion tahun. India terletak pada utara khatulistiwa antara 6°44' dan 35°30' latitud utara[8] dan 68°7' dan 97°25' longitud timur.[9]
Pesisiran India berukuran 7,517 kilometer (4,671 batu) panjangnya; 5,423 kilometer (3,370 batu) darinya terletak di semenanjung India, dan 2,094 kilometer (1,301 batu) di pulau-pulau Andaman, Nicobar, dan Lakshadweep.[10] Menurut carta-carta hidrografi tentera laut Indian, pesisiran tanah besar terdiri daripada: 43% pantai pasir, 11% pesisiran batu termasuk tebing, dan 46% tanah lumpur atau pantai becak.[10]
Sungai-sungai utama yang mengalir dari pergunungan Himalaya lalu merentasi India termasuklah Sungai Ganges dan Brahmaputra, kedua-duanya mengalir hingga Teluk Benggala.[11] Cawang-cawang sungai Ganges yang utama termasuklah Yamuna dan Kosi yang bergelar "Nestapa Bihar" kerana cerunnya yang amat rendah mengakibatkan banjir yang dahsyat setiap tahun. Sungai-sungai semenanjung utama–di mana cerun yang lebih curam menghalang perairannya daripada melimpah–termasuklah Sungai Godavari, Sungai Mahanadi, Sungai Kaveri, dan Sungai Krishna, yang juga mengalir hingga Teluk Benggala,[12] serta Sungai Narmada dan Sungai Tapti yang mengalir hingga Laut Arab.[13] Antara ciri-ciri pesisiran India yang penting termasuk Rann Kutch yang berawang di India barat, dan di bahagian barat daya delta Sundarban lanar yang dikongsi India dan Bangladesh.[14] India mempunyai dua gugusan pulau-pulau, iaitu: Lakshadweep, atol-atol perkarangan di luar pesisiran barat daya India, dan Kepulauan Andaman dan Nicobar, selingkaran gunung berapi di Laut Andaman.[15]
Iklim India kuat dipengaruhi banjaran Himalaya dan Gurun Thar, kedua-duanya memacu dinamik monsun.[16] Banjaran Himalaya menghalang angin katabatik Asia Tengah yang dingin daripada meniup masuk, maka memastikan kebanyakan kawasna benua kecil India lebih panas berbanding tempat-tempat yang berkongsi latitudnya.[17] Serentak dengan itu, Gurun Thar memainkan peranan dalam menarik angin monsun musim panas barat daya yang sarat dengan kelembapan, antara bulan Jun dan Oktober, maka membawa kebanyakan curahan hujan di India.[16] Terdapat empat kelompok iklim utama utama di India: lembap tropika, kering tropika, lembap subtropika, dan pergunungan.[18]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Ali & Aitchison 2005, halaman 170-171
- ^ a b Ali & Aitchison 2005, halaman 172-173
- ^ Dikshit & Schwartzberg 2007, halaman 7
- ^ Prakash et al. 2000, halaman 445
- ^ Dikshit & Schwartzberg 2007, halaman 11
- ^ Dikshit & Schwartzberg 2007, halaman 8
- ^ Dikshit & Schwartzberg 2007, halaman 9-10
- ^ Titik paling utara India ialah kawasan Glasier Siachen iaitu kawasan yang dipertikai di Jammu dan Kashmir; bagaimanapun, Kerajaan India mengaku seluruh kawasan Jammu dan Kashmir (termasuk Kawasan-kawasan Utara yang kini ditadbir oleh Pakistan) sebagai wilayahnya, dan maka itu menentukan longitud 37° 6' pada titik paling utaranya.
- ^ (Government of India 2007, p. 1)
- ^ a b Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamasanilkumar
- ^ Dikshit & Schwartzberg 2007, halaman 15
- ^ Dikshit & Schwartzberg 2007, halaman 16
- ^ Dikshit & Schwartzberg 2007, halaman 17
- ^ Dikshit & Schwartzberg 2007, halaman 12
- ^ Dikshit & Schwartzberg 2007, halaman 13
- ^ a b Chang 1967, halaman 391-394
- ^ Posey 1994, halaman 118.
- ^ Heitzman & Worden 1996, halaman 97.