Frekuensi ultra tinggi
Frekuensi ultra tinggi (bahasa Inggeris: Ultra high frequency , UHF) menandakan julat (jalur) gelombang elektromagnet yang frekuensinya antara 300 MHz dan 3 GHz (3,000 MHz), juga dikenali sebagai jalur desimeter atau gelombang desimeter kerana jarak gelombangnya antara 10 hingga satu desimeter. Gelombang radio yang frekuensinya melebihi jalur UHF terletak dalam jalur-jalur SHF (frekuensi super tinggi) dan EHF (frekuensi teramat tinggi); semuanya tergolong dalam julat frekuensi gelombang mikro. Isyarat-isyarat frekuensi lebih rendah pula jatuh dalam jalur-jalur VHF atau lebih rendah. Lihat spektrum elektromagnet untuk senarai penuh jalur frekuensi.
Kegunaan
[sunting | sunting sumber]UHF dan VHF adalah jalur frekuensi yang paling banyak digunakan untuk pemancaran isyarat televisyen. Telefon bimbit moden juga memancarkan dan menerima isyarat dalam spektrum UHF. UHF digunakan secara meluas oleh agensi-agensi perkhidmatan awam untuk komunikasi radio dua hala, biasanya menggunakan modulasi frekuensi jalur sempit, tetapi perkhidmatan digital juga makin banyak. Selama ini penyiaran radio amat sedikit dalam jalur ini sehingga baru-baru ini; rujuk penyiaran audio digital untuk maklumat selanjutnya. Sistem Kedudukan Sejagat turut menggunakan UHF.
2.45 GHz, kini banyak digunakan untuk Wi-Fi, Bluetooth dan telefon tanpa tali telah dicadangkan untuk pemindahan tenaga tanpa wayar. Eksperimen-eksperimen perintis telah dijalankan, namun kaedah ini belum lagi dilaksanakan secara besar-besaran.
Radio amatur juga beroperasi dalam beberapa jalur UHF.
Ciri-ciri dan kelebihan
[sunting | sunting sumber]Pemancaran gelombang radio dari titik ke titik dipengaruhi banyak faktor. Kelembapan atmosfera, aliran zarah-zarah dari matahari dipanggil angin suria, dan waktu semuanya mempengaruhi pemancaran isyarat. Semua gelombang radio diserap sedikit oleh kelembapan atmosfera. Penyerapan atmosfera mengurangkan, atau mengecilkan, kekuatan isyarat radio melalui jarak jauh. Kesan-kesan pengecilan bertambah mengikut frekuensi. Isyarat UHF biasanya lebih mudah terjejas oleh kelembapan berbanding jalur-jalur lebih rendah seperti VHF. Lapisan atmosfera Bumi yang dipanggil ionosfera diisi dengan zarah-zarah bercas yang boleh memantulkan gelombang radio. Pemantulan gelombang radio boleh membantu memancarkan isyarat radio melalui jarak jauh kerana gelombang melantun ulang-alik dari langit ke bumi. UHF kurang merasai kesan pemantulan berbanding frekuensi lebih rendah (VHF, dsb.) Pemancaran UHF boleh dipertingkatkan dengan penyaluran troposfera kerana suhu atmosfera berubah-ubah sepanjang hari.
Kelebihan utama pemancaran UHF ialah gelombang pendek secara fizikal yang dihasilkan oleh frekuensi tinggi. Saiz pemancaran dan kelengkapan penerimaan, (khususnya antena), dikaitkan dengan saiz gelomabng radio. Antena yang lebih kecil boeh digunakan dengan jalur frekuensi lebih tinggi.
UHF luas digunakan dalam sistem radio dua hala dan telefon tanpa tali. Isyarat UHF dipancar sepanjang jarak garis penglihatan. Pemancaran yang dijana oleh radio dua hala dan telefon tanpa tali tidak mampu pergi sejauh sehingga mengganggu pemancaran setempat. Sebilangan komunikasi keselamatan awam dan perniagaan dikendali pada UHF. Aplikasi awam seperti GMRS, PMR446, UHF CB, dan 802.11b ("Wi-Fi") adalah contoh-contoh penggunaan UHF yang popular. Pengulang digunakan untuk menyebarkan isyarat UHF apabila perlunya jarak yang lebih jauh daripada garis penglihatan.