Pergi ke kandungan

Dato' Bahaman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Dato' Bahaman
Kelahiran
Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh

1838 (1838)
Semantan, Pahang, Tanah Melayu
Meninggal dunia1977 (berumur 138–139)
Kampung Peramu, Kuantan, Pahang
DikebumikanPerkampungan Peramu, Balok, Kuantan, Pahang
Nama lainDato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan
Orang Besar Temerloh
Terkenal keranamempertahankan tanah air terhadap campur tangan dari penjajah British di Pahang

Dato' Bahaman, atau nama sebenarnya Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh ialah seorang pahlawan Melayu terkemuka di Pahang, Tanah Melayu semasa zaman pendudukan British. Beliau juga merupakan salah seorang Orang Besar bagi Sultan Pahang, dan berpengaruh di kawasan Semantan, Pahang. Beliau lahir pada tahun 1838.

Asal usul

[sunting | sunting sumber]

Dato' Bahaman dilahirkan pada 1838. Beliau ialah anak lelaki kepada Tuanku Imam Nuh yang berasal dari Bangkinang, Kampar, Sumatera. Dato' Bahaman dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Tun Ali, yang kemudiannya menjadi Bendahara Pahang, dan menjadi rakan sepermainan kepada Tun Ahmad (yang kemudiannya menjadi Sultan) semasa zaman kanak-kanak[1]. Dato' Bahaman mengangkat sumpah kesetiaan terhadap Sultan Ahmad semasa baginda menaiki takhta pada 1881, dan beliau terus menabur bakti kepada tanah airnya.

Dato’ Bahaman telah diangkat sebagai salah seorang Orang Besar Berlapan dan dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan kerana beliau telah menunjukkan sikap serta kebolehannya sebagai panglima dalam perang saudara antara Sultan Ahmad dan adinda baginda Wan Mutahir.

Dato Bahaman juga memimpin pasukan Pahang untuk membantu Tengku Kudin dalam perang Saudara di Klang, Selangor. Selepas kematian Orang Kaya Indera Segara, Dato’ Bahaman telah dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Kaya Temerloh. Dengan pangkat tersebut, kedudukan Dato’ Bahaman adalah sedarjat dengan Orang Besar Berempat dan seringkali diajak berunding oleh baginda Sultan Ahmad.

Perang Semantan

[sunting | sunting sumber]

Punca utama Perang Semantan ialah ketidakpuasan hati Orang-orang Besar Pahang terhadap campur tangan British ke atas kawasan mereka. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 ketika E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua yang terletak di kawasan Dato' Bahaman, tanpa sebarang perundingan dengannya. Apabila Hugh Clifford, Pemangku Residen British Pahang, mengetahui hal tersebut, beliau menasihatkan Sultan dan baginda kemudian menitahkan Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh sebab Dato' Bahaman enggan ke Pekan, Sultan mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan.

Tindakan itu menyakitkan hati Dato' Bahaman. Keadaan ini menyebabkan beliau dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough di Sungai Semantan pada 15 Disember 1891 ketika beliau menyangka Desborough datang untuk menangkapnya. Dalam serangan tiba-tiba itu, pihak Deaborough telah kalah dan mereka melarikan diri ke bandar Temerloh

Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai British Pahang menyediakan tentera untuk melawan pembangkang-pembangkang Melayu. Ekoran dari itu pada 26 Disember 1891, satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi ditewaskan.

Buruan Orang British

[sunting | sunting sumber]

Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah menjadi orang yang paling kuat dan memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Tentera” telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140 daripadanya mempunyai senjata api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera.

Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato’ Bahaman menjadi lebih hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak Inggeris kalah dan Abdullah Bera terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman terhadap Inggeris.

Pada Mei 1892, Inggeris telah menyerang Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan semangat pejuang Pahang untuk berjihad menentang Inggeris. Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama 100 orang pengikutnya.

Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan Inggeris yang diketuai oleh Jeneral Walker menyerang kumpulan penentang Inggeris yang diketuai oleh Dato' Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya perang menentang Inggeris di Pahang.

Sir Hugh Clifford, Residen Bristish di Pahang melancarkan serangan secara besar-besaran yang menelan belanja yang banyak, memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan.

Gerakan itu dihentikan pada bulan November 1895 apabila Dato' Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di Chiengmai pada awal 1896, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal di Terengganu.

Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun (1891-1894) telah menyebabkan pihak Inggeris menanggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 dollar setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut

Persetiaan sumpah

[sunting | sunting sumber]

Memandangkan keadaan tidak selamat, Dato’ Bahaman dan pengikutnya telah mengambil keputusan pergi ke Siam. Kisahnya tidak kedengaran lagi sewaktu di Siam, dan dilaporkan sudah meninggal dunia.

Sekitar tahun 1970, muncul seorang lelaki tua yang penuh misteri di Kampung Peramu. Terdapat dakwaan dan laporan yang mengatakan bahawa seorang individu yang bernama Tok Guru Peramu ialah Dato' Bahaman[2]. Tok Guru Peramu meninggal dunia pada 23 Julai 1977 tanpa mengakui identiti beliau yang sebenar.[3]f

  1. ^ Dato' Bahaman Sejarah Perjuangan Dan Adakah Dia Tok Guru Peramu. Temerloh. 2023. ISBN 9789671030714.
  2. ^ Dato' Bahaman Sejarah Perjuangan Dan Adakah Dia Tok Guru Peramu. Temerloh. 2023. ISBN 9789671030714.
  3. ^ "Tok Guru Peramu adalah Datuk Bahaman?". Utusan Malaysia. 10 November 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-02-15. Dicapai pada 15 Februari 2019 – melalui Utusan Online. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)